Wednesday, February 23, 2011

PRK N27 Merlimau: Roslan Ahmad calon Barisan Nasional


JASIN, 23 Feb (Bernama) -- Anggota Jawatankuasa Umno Bahagian Jasin Roslan Ahmad dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau, pada 6 Mac ini.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan kira-kira 3,000 penyokong BN di Command Centre di Merlimau dekat sini, Rabu.

"Ini diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN selepas kita menerima cadangan dan proses penyaringan berkali-kali dan kita dapati saudara Roslan adalah calon paling sesuai," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau di sini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden PPP Datuk M Kayveas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan barisan pimpinan BN lain.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Roslan, 44, mempunyai rekod pengalaman dan pemimpin yang dikenali di kalangan pengundi DUN Merlimau dan beliau berharap pengundi berpuas hati atas pemilihan beliau sebagai calon.

Allahyarham bapa beliau, Datuk Ahmad Ithnin ialah bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, yang setelah persempadanan semula kawasan pilihan raya dinamakan DUN Merlimau.

Muhyiddin berharap jentera BN yang telah bersedia hampir sebulan menghadapi pilihan raya kecil itu akan dapat meningkatkan undi majoriti berbanding pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil itu dibuat berdasarkan merit beliau sendiri sungguhpun bapanya pernah menjadi Adun kawasan itu manakala bapa saudaranya pula, bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Abu Zahar Ithnin juga pernah dipilih sebagai Adun kawasan itu.

"Walaupun dari segi perhubungan dan pertalian itu tidak boleh kita elakkan tetapi yang penting dan dinilai oleh pucuk pimpinan ialah beliau (Roslan) sendiri, berasaskan latar belakang dan potensi beliau itulah yang paling utama," katanya.

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh pengundian, manakala penamaan calon pada 26 Feb ini. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...