AIDCNews – 28/10/12 – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) seperti dilaporkan Malaysian Insider mengecam penayangan filem “My Name is Khan,” lakonan Datuk Shah Rukh Khan oleh stesen TV3 semalam sempena dengan sambutan Aidiladha.
Menurut ABIM penayangan filem pada hari kedua raya Aidiladha tersebut tidak wajar dilakukan oleh sebuah stesen televisyen utama Malaysia kerana cuba mengetengahkan fahaman Islam Liberal dan pluralisme agama yang mengelirukan.
ABIM turut menegaskan filem tersebut tidak mencerminkan imej agama Islam yang sebenar serta bertentangan dengan syariat sambil menyelar pihak TV3 yang tidak terlebih dahulu membuat kajian sebelum menayangkannya.
“Watak utamanya dibawa oleh Shah Rukh Khan jelas menjengkelkan. Aksi beliau dalam cerita itu membayangkan tahap kefahaman pengarah, penulis skrip, dan pelakon mengenai Islam begitu memalukan.
“Sebagai contoh,adegan hero yang berkahwin dengan heroin (dalam filem ini) yang beragama Hindu jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampuraduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam,” katanya.
NGO tersebut turut mendakwa, filem tersebut akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat Islam di Malaysia kerana pendekatan yang digunakan dalam filem tersebut mewujudkan satu lagi kekeliruan menerusi konsep Islam Liberal
“Fahaman Islam Liberal ini pekat dengan rasa apologetik dan menenggelamkan sumber asas dan mengenepikan pandangan ulama muktabar. Begitu juga dengan nilai yang cuba disejajarkan dengan selera Barat yang menyisih intipati ajaran Islam itu sendiri”, katanya lagi.
Pada 2 Februari 2011, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti dilaporkan portal Mkini dotcom berkata “nama saya Anwar dan saya bukan pengganas,” katanya, ketika meniru watak yang dimainkan oleh bintang terkemuka India, Shah Rukh Khan.
Anwar berkata begitu ketika menafikan beliau mempunyai kaitan dengan pengganas dan menjadikan subjek lakonan Shah Rukh Khan, “My Name is Khan” sebagai perbandingan dirinya.
PengudiBaharu: My Name Is Anwar, and im...