Seorang juruukur bahan, Ahmad Abdul Jalil, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru bagi menghadapi dua pertuduhan menghina Sultan Johor di laman sosial Facebook (FB).
Ahmad, 27 tahun, berasal dari Klang, Selangor, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua dua pertuduhan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Ahmad didakwa menggunakan nama akaun 'Zul Yahya' bagi memuatnaik status menghina Sultan Johor.
Pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memuatnaik satu status pada jam 3 petang, 21 Oktober lalu yang tertera perkataan menghina Sultan Johor.
Pertuduhan kedua, Ahmad didakwa melakukan perbuatan dan kesalahan yang sama kira-kira jam 6 petang, 10 Oktober lalu melalui akaun FB yang sama.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Ahmad didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3), akta yang sama.
Tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara hingga setahun atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga boleh dikenakan denda hingga RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan yang diwakili Ketua Unit Pendakwaan Johor, Umar Saifuddin Jaafar memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Peguam mewakili tertuduh, Mohd Radzlan Jalaludin dan Mohd Haijan Omar bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan.
Mohd Radzlan dalam hujahnya berkata, tertuduh baru berkahwin dua bulan lalu dan sedang melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur.
Hakim Zamri Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Ahmad sebelum itu ditahan di sebuah premis di Wangsa Maju Kuala Lumpur, kira-kira jam 7.30 malam, Jumaat lalu.
Media sebelum itu turut melaporkan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Johor dan Pemuda Umno Bahagian Pulai membuat laporan polis terhadap akaun FB tersebut yang didakwa menghina Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
He!..He!..He! bapak dan maknya kata anaknya ANAK BAIK anak yang tidak buat kesalahan dahlah tu nak tukar kerajaan pula, kerajaan sekarang tak adil ada campur tangan atasan. Silalah tukar kerajaan nak tengok Melayu ditahap mana selepas itu.
ReplyDelete