Thursday, April 12, 2012

ISU PTPTN: "IPTS SELANGOR TIDAK MEMPUNYAI KUALITI" - RAFIZI





SHAH ALAM:  Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli cuba mengelak menjawab soalan berhubung mengapa kerajaan negeri Selangor gagal memansuhkan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negeri itu yang ditadbir oleh parti berkenaan.

Sebaliknya, Rafizi mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memansuhkan pembiayaan pinjaman PTPTN di Universiti Selangor (Unisel). Ini di sebalik pengumuman Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini, bahawa dalam tempoh tiga tahun Selangor mencatat keuntungan ekonomi berjumlah RM1.25 bilion.

"Ini tanggungjawab kerajaan pusat kerana kerajaan pusat yang tubuhkan tabung PTPTN untuk memberikan pinjaman, kalau kerajaan Selangor membuat satu tabung pinjaman sudah ada dua tabung yang berbeza, pendapatan kerajaan negeri cukup rendah dan kuasa yang terbatas.

"Kita perlu mengambilkira daripada segi undang-undang tubuh persatuan, ada akta tertentu tidak membenarkan kerajaan negeri memberikan pinjaman, persoalan mengapa Selangor tidak memansuhkan pinjaman PTPTN di Unisel itu lari daripada persoalan nasional yang besar," katanya ditemui pemberita selepas program Rundingcara "PTPTN dan masa depan pembiayaan pendidikan tinggi anjuran penasihat Ekonomi Selangor di sini malam tadi.

Pada sesi dialog itu, Rafizi yang juga Pengarah di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor berkata  kerajaan negeri Selangor tidak mempunyai pengalaman dalam membangunkan dan menguruskan universiti dalam negeri.

"Unisel hanyalah IPTS walaupun dinaik taraf kepada universiti, saya tidak setuju Unisel ditubuhkan kerana menelan kos perbelanjaan sebanyak 56 juta, lebih baik mahasiswa Unisel dihantar ke Universiti Malaya (UM) kerana IPTS di negeri ini tidak mempunyai kualiti," katanya.

Menurut beliau, pembiayaan pendidikan oleh negeri tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana ia terikat kepada akta tertentu, seperti akta pinjaman dan akta pencegahan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut isu tersebut, Rafizi berkata universiti seperti Unisel dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebenarnya merupakan sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) walau dikatakan sebagai “universiti negeri.”

Beliau turut menekankan soal keperluan memantapkan kualiti dan menambahkan bilangan universiti awam dalam tempoh sepuluh tahun akan datang di samping menggalakkan penggabungan IPTS yang tumbuh bagai cendawan.

Katanya, kekayaan negeri lebih baik dilabur kepada pelajarnya yang menuntut di pelbagai universiti berkualiti baik daripada disumbangkan untuk pembangunan sebuah 'universiti negeri' sahaja.

Menurutnya, beliau percaya kualiti universiti dapat dijamin apabila ia diuruskan oleh pakar dan ahli akademik dan bukannya kerajaan negeri atau pihak swasta yang bermotifkan keuntungan.

“Duit itu lebih baik guna untuk hantar pelajar ke Oxford atau Harvard. Kalau UM (Universiti Malaya) lebih baik, patut bawa dia ke UM,” katanya yang juga bertugas sebagai ketua eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor.

Ditanya mengapa hanya pinjaman PTPTN diberi keutamaan berbanding pinjaman seperti MARA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PERKESO dan sebagainya, Rafizi berkata ini kerana PTPTN mempunyai  jumlah peminjam paling ramai berbanding tabung lain.

"Pinjaman seperti ini tidak memberi kesan yang sampai menjejaskan institusi pengajian tinggi," katanya.

Isu PTPTN mencuri tumpuan apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menabur janji bahawa pinjaman itu akan dimansuhkan jika Pakatan Rakyat berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13.

Namun janji berkenaan tidak dimasukkan dalam manifesto Buku Jingga Pakatan. Beberapa pakar ekonomi dan akademik berpendapat jika dasar itu dilaksanakan, rakyat bakal dibebankan dengan cukai yang tinggi.

PengundiBaharu: Harap Mahasiswa bijak menilai mana Intan Permata dan yang mana Kaca.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...