JOHOR BAHARU: Kira-Kira 30,000 rakyat Johor pelbagai kaum dan agama berhimpun secara aman di pekarangan Istana Pasir Pelangi bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.
Mereka membawa pelbagai sepanduk dan mula berhimpun sejak 10 pagi tadi di Sangkar Kristal, Taman Pelangi sebelum berarak sejauh 1 kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor pada 2 petang.
Sultan Johor turut berangkat ke Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor itu, yang dianjurkan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung).
Suasana di pekarangan istana yang penuh sesak bertukar menjadi emosional apabila baginda tiba-tiba menjadi sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada hadirin.
"Saya tidak akan melupakan hari yang amat bersejarah seperti hari ini," kata baginda sambil mengesatkan air mata dan laungan "Daulat Tuanku" rakyat yang menghadiri perhimpunan itu terus berkumandang.
Sultan Ibrahim yang berterima kasih kepada mereka yang menghadiri perhimpunan itu berkata adalah menjadi amanahnya sebagai Sultan Johor untuk menyayangi rakyat.
"Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada," katanya sambil mengingatkan seluruh rakyat negeri Johor, tanpa mengira kaum dan agama, supaya terus bersatu padu.
"Jika bersatu, kita akan kuat," titah baginda yang ditemani isteri, Raja Zarith Sofia dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris serta kerabat diraja Johor lain.
Perhimpunan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.
Terdahulu, baginda menerima lafaz ikrar taat setia wakil Gabung Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan itu.
Sementara itu, Bendahari Agung Gabung Zaini Atan berkata mereka amat bangga kerana perhimpunan hari ini berjaya menarik 30,000 rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan agama, yang menganggotai pelbagai NGO.
"Kita hanya mengambil masa tujuh hari untuk menganjurkan perhimpunan ini, sebagai usaha kami untuk menunjukkan semangat taat setia dan sayang kami kepada Sultan kami. Jangan cabar Sultan kami," katanya.
Beliau berkata sejumlah 312 NGO Melayu Johor dan 62 NGO kaum Cina serta 30 NGO kaum India menyertai perhimpunan itu.
Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan, yang turut menghadiri perhimpunan itu, berkata beliau berasa amat bangga dengan sokongan rakyat pelbagai agama dan kaum di negeri ini terhadap Sultan Johor.
"Perhimpunan hari ini membuktikan bahawa rakyat negeri Johor menyokong penuh institusi kesultanan kerana ia merupakan tulang belakang kepada Perlembagaan negara," katanya. - AgendaDaily
“Saya tidak berbangga (jadi) bangsa Melayu. Bangsa ini datang secara automatik,” Demikian kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam satu majlis dialog bersama wartawan di sebuah hotel di Kota Bharu pada tahun 2010.
Saya tidak terkejut dengan kenyataan ulama besar Pas itu, kerana sebelum ini pun beliau sentiasa memperlekeh sebarang usaha ke arah islah dan kebaikan yang dikaitkan dengan bangsa Melayu. Perpaduan Melayu, Ketuanan Melayu, perjuangan memartabatkan orang Melayu dan apa sahaja yang dikaitkan dengan nama Melayu lebih-lebih lagi parti Melayu ditolak bulat-bulat oleh beliau!
Sebenarnya saya bersikap terbuka dalam memahami pendirian Menteri Besar Kelantan itu, namun saya sangat terkilan apabila beliau mengajar pengikutnya menghina, mencerca dan mengecam orang lain yang tidak sependirian dalam perjuangan memartabatkan bangsa Melayu. Hal sama terjadi kepada Mufti Perak, Sahibus Samahah Tan Sri Harussani Zakaria, apabila beliau dikecam teruk oleh pemimpin dan penyokong Pas hanya kerana usahanya menyatukan UMNO dan Pas atas nama Melayu dan Islam.
Nik Aziz pernah berkata dalam satu sidang media pada 2009:
“Bangsa Melayu, perjuangan bangsa Melayu tidak boleh dibawa ke akhirat. Kalau bangsa Melayu boleh dibawa ke akhirat. Nabi Muhammad lah pejuang Arab. Tapi Nabi Muhammad tidak pejuang Arab, Nabi Muhammad pejuang Islam. Jadi macam mana kita sebagai umat Nabi Muhammad tak pasal-pasal nak perjuang Melayu, tinggal Nabi Muhammad. Akhirat kelak nak cari siapa? Nak cari orang Melayu ke nak cari Nabi Muhammad. Akhirat kelak bangun dari kubur orang cari Nabi Muhammad, orang tak cari Inggeris dah, orang tak cari Melayu dah. Orang cari Nabi Muhammad. Nak kenal Muhammad macam mana kita duduk lawan Muhammad atas muka dunia!”
Dalam memahami hakikat perjuangan kebangsaan Melayu di Malaysia, saya ingin menjelaskan bahawa saya tidak pernah beranggapan bahawa bangsa Melayu itu adalah bangsa yang mempunyai kelebihan di akhirat atas namanya Melayu. Sebaliknya saya melihat kepada keperluan memperjuangkan nasib bangsa ini adalah kerana bangsa Melayu ini diikat dengan roh Islam dan kebaikan untuk bangsa ini adalah juga merupakan kebaikan untuk Islam.
Tidak salah kita melakukan usaha pembaikan dan islah bermula dari diri kita, kaum keluarga dan orang terdekat dengan kita termasuklah bangsa kita sendiri. Konsep tadaruj (berperingkat) ini memang diajar oleh Islam. Ini bukanlah bermakna kita melebih-lebihkan sesuatu bangsa secara mutlak, tetapi tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memelihara mereka yang terdekat dengan kita, di samping memastikan kelangsungan bangsa kita sendiri untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Sebenarnya perjuangan kebangsaan Melayu ini adalah alat kepada dakwah Islam untuk umat manusia seluruhnya.
Tambahan pula, perjuangan memelihara kekuatan bangsa yang menjadi dominan di sesebuah negara Islam adalah sangat penting dalam memastikan kedaulatan Islam dan ketuanannya terjamin. Seperti mana Nabi Muhammad s.a.w. mengkehendaki akan kepimpinan dari bangsa Quraisy, begitu jugalah kita sebagai orang Melayu perlu membela Ketuanan Melayu yang menjadi tunggak kekuatan Islam di Malaysia.
Pakar Hadisth dari Kelantan Maulana Asri
Rasulullah s.a.w pernah bersabda:
"Sesungguhnya urusan pemerintahan ini adalah di tangan Quraisy tidaklah ada seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan menyungkurkan wajahnya di dalam neraka selama mereka itu melaksanakan agama." (Hadith Riwayat al Bukhari)
Adakah benar usaha islah dan perjuangan memartabatkan bangsa ditegah oleh agama dan tiada nilai di sisi Allah Taala? Apakah perspektif Islam sangat jijik sekali terhadap sebarang usaha kebaikan yang dikaitkan dengan nama bangsa atau keturunan?
Di sana terdapat banyak hadith menyebut tentang kelebihan bangsa Arab dan Quraisy terutama dalam bab kepimpinan dan sumbangan mereka terhadap perjuangan Islam. Bahkan diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. sendiri menisbahkan diri baginda dengan bangsa dan keturunannya, walaupun ada sebahagian riwayat tersebut ditakhrijkan sebagai dhaif (lemah), dhaif jiddan (sangat lemah) dan maudhuk (palsu) oleh sesetengah ulama hadith.
Dalam sebuah riwayat terkenal dikatakan bahawa:
“Cintakan bangsa Arab itu adalah (tanda) keimanan dan kebencian kepada mereka adalah (tanda) kemunafikan.”
Mereka yang menganggap ia sebuah hadith dari Nabi Muhammad s.a.w. berhujah bahawa ia telah ditahkrijkan sebagai shahih oleh Imam al Hakim. Bagaimanapun, pendapat al Hakim ini disanggah oleh Imam az Zahabi dan beliau berkata: “Al- Haitham bin Jammaz yang terdapat dalam sanadnya adalah matruk dan Ma'qil pula adalah dhaif”. Berdasarkan keterangan az Zahabi ini, maka hadith ini adalah sangat dhaif. Saya menerima koreksi Syeikh Muhammad Nashiruddin al Albaani yang turut menganggap hadith in sangat dhaif dan tidak boleh dijadikan hujah untuk disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.
Apapun, kelemahan hadith ini bukan bermakna sekiranya seseorang itu dilahirkan sebagai orang Arab, dia tidak boleh mencintai bangsanya. Anggapan kecintaan kepada bangsa adalah suatu sifat ‘asabiyyah yang dikecam oleh Nabi s.a.w. dalam banyak hadith sahih adalah tidak benar!
Sesungguhnya kita tidak dilarang untuk mencintai bangsa atau kaum kita sendiri seperti mana telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam hadith shahih berikut:
"Bertanya seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w. : Adakah perbuatan ‘asabiyah seseorang itu suka (kasih) kepada kaumnya (bangsanya)? Tidak, tetapi asabiyah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman." (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)
Mengapa kita suka mengambil jalan memusuhi, memperlekeh serta menidakkan naluri kecintaan dan peranan bangsa dalam mentadbirkan kelangsungan hidup di dunia yang menjadi jambatan kehidupan di akhirat?
Siapalah kita untuk cuba menghapuskan pengenalan bangsa sedangkan Allah Taala sendiri mengiktiraf kewujudan manusia yang dijadikan oleh-Nya berbangsa-bangsa dengan tujuan untuk saling kenal-mengenal di antara mereka. Allah Taala ada berfirman:
"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa antara kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah al Hujurat: 13)
Sedarkah kita bahawa dakwah agama tanpa 'asabiyyah (perasaan kekitaan) tidak akan berhasil? Ini kerana penglibatan rakyat terbanyak memerlukan perasaan ‘asabiyyah.
Sarjana Islam, Ibn Khaldun di dalam kitabnya al Muqadimah, memetik sebuah hadith shahih yang bermaksud:
“Allah tidak mengutuskan seorang Nabi pun kecuali ia berada dalam penjagaan kaumnya.” (Hadith Riwayat al Hakim)
Dalam hadith yang bertaraf hasan, Nabi s.a.w. bersabda:
“Allah tidak mengutuskan selepasnya seorang Nabi pun kecuali ia berada dalam kekayaan (kelimpahan dan penjagaan) kaumnya.” (Hadith Riwayat at Tirmidzi)
Ibn Khaldun menegaskan bahawa para Nabi a.s. sendiri pun yang merupakan semulia-mulia makhluk dan mempunyai pelbagai kelebihan memerlukan kepada penjagaan keluarga dan kaum, apatah lagi manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa kelebihan, tidak mungkin akan berjaya tanpa 'asabiyyah'.
‘Asabiyyah' (perasaan kekitaan) yang dimaksudkan oleh Ibn Khaldun di sini adalah sokongan bantuan yang kuat sama ada moral, tenaga mahupun harta benda dalam melaksanakan siasah khalifah.
Ia merupakan ‘asabiyyah hasanah (baik) atau gholibah bukan ‘asabiyyah dholalah (sesat) atau jahiliah yang dikecam oleh Nabi s.a.w. seperti dalam hadith berikut:
“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Hadith Riwayat Muslim)
Almarhum Dr. Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi
Kepada saudara-saudara saya yang berada di dalam Pas, eloklah diteliti kembali pendirian bekas Yang Dipertua Pas, Almarhum Dr. Burhanuddin bin Muhammad Nur al-Hilmi seperti yang dipetik dari buku Kursus Agama dan Politik, tahun 1954, terbitan Buana Singapura seperti berikut:
“Islam memandang kebangsaan sebagai alat dan bukan sebagai tujuan. Kebangsaan hendaklah mengambil tempat yang sederhana dan boleh sebagai satu lambang yang boleh menarik dan menyatukan suatu baginya tenaga untuk mencapai cita-cita mulia yang besar dan abadi, sebagaimana Islam memandang dunia bukan tujuan, tetapi hanya suatu alat atau tunggangan untuk menyampaikan ke akhirat.”
Dalam konteks negara Malaysia, semangat kebangsaan Melayu sangat penting dalam memastikan keutuhan dan kelangsungan negara Islam dan ummahnya. Kekuatan dan kesatuan Melayu di negara ini mencerminkan kekuatan dan kesatuan Islam itu sendiri. Dengan kata lain, orang Melayu adalah teras kepada kekuatan dan kesatuan Islam di sini. Lemahnya Melayu, lemahlah Islam. Mundurnya Melayu, mundurlah Islam. Berpecahnya Melayu, berpecahlah Islam. Runtuhnya Ketuanan Melayu, runtuhlah Ketuanan Islam di Malaysia.
Sememangnya kekuatan dan kemuliaan Melayu adalah kerana agama bukan kerana bangsanya. Tetapi bangsa manakah yang akan memperjuang dan mengangkat kemuliaan mereka dengan cahaya Islam dan memakmurkan Malaysia dengan nilai-nilai Islam jika bukan Melayu? Bukankah Melayu itu bangsa majoriti dan dominan dari sudut demografi di bumi bertuah ini? Bukankah bangsa Melayu di Malaysia itulah satu-satu bangsa di dunia yang diikat dengan Islam dalam perlembagaan negaranya? Bukankah Melayulah yang berjuang habis-habisan menuntut kemerdekaan dari penjajah bukan Islam? Bukankah Melayu yang berjuang mempertahankan Ketuanan orang Islam?
Mencintai bangsa Melayu dan berbangga dengan kepahlawanan bangsa dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanahair bukanlah bermaksud kita melampau-lampau dan taksub kepada bangsa kita semata-mata sehingga bertindak menyokong apa sahaja segala kezaliman yang dilakukan oleh mereka yang sebangsa dengan kita. Tetapi kecintaan dan kebanggaan itu adalah kerana ia merupakan fitrah naluri kita sebagai manusia yang dijadikan oleh Allah yang mengkehendaki kepada kebaikan kepada diri sendiri, ahli keluarga, kaum kerabat dan orang terdekat dengan kita.
Seperti mana yang pernah dikatakan oleh bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Almarhum Dr Muhammad Abdul Rauf:
“Walau bagaimanapun, nasionalisme (kebangsaan) sebagai sentimen yang semula jadi, cinta dan kesetiaan kepada tanah air sendiri adalah konsisten (secocok) dengan semangat Islam dan menggerakkan semangat untuk menghalang penjajah kuasa luar dengan apa cara sekalipun adalah selaras dengan konsep izzah (kehormatan diri sendiri) yang ditujukan Allah dengan firmannya “al-izzah ialah untuk Allah dan pesuruh-Nya dan yang beriman kepada Allah, tetapi orang munafik itu tiada mengetahui.” (Surah al Munafiqun: 8).
Rapat umum menentang Malayan Union oleh Melayu Kelantan pada tahun 1946 yang disertai oleh 65 ribu orang. 2 ribu orang Melayu turut membuat rapat umum membantah Malayan Union di Kedah beberapa hari sebelumnya.
Ada di antara kita menolak segala bentuk seruan kebaikan atas nama bangsa termasuk seruan perpaduan Melayu kerana kononnya ia bersifat ‘asabiyyah yang dikeji. Walhal seruan kepada perpaduan itu adalah tuntutan syarak yang paling besar dan banyak disebut dalam al Quran dan hadith shahih. Apa salahnya kita mulakan perpaduan Islam dalam kerangka bangsa Melayu itu terlebih dahulu, bukankah Melayu itu subset kepada Islam yang universal sifatnya?
Umpama seorang ketua kampung yang menyeru orang-orang kampungnya bersatu, tetapi membiarkan saja keluarganya berpecah kerana lebih mementing perpaduan orang-orang kampung keseluruhannya. Eloklah begitu? Membiarkan Melayu berpecah kerana tidak mahu kepada perpaduan Melayu tetapi lebih mementingkan perpaduan Islam kononnya!
Sekiranya seseorang itu adalah seorang Melayu yang benar dan Muslim yang sedar, dia akan mendapati bahawa kebaikan untuk Melayu yang sebenarnya adalah kebaikan untuk Islam. Seorang Islam tidak akan mendapati halangan daripada agamanya untuk bermula dengan bangsanya di mana dia hidup bersamanya. Disebutkan dalam hadith sahih:
"Mulakan dengan diri kamu, kemudian dengan mereka yang berada di bawah tanggungan kamu." (Hadith Riwayat at Tirmidzi)
64 ahli Melayu DAP Cawangan Lembah Kinrara masuk UMNO
KUALA LUMPUR 31 Mei - Seramai 64 ahli Melayu DAP Cawangan Lembah Kinrara, Puchong di sini bertindak menyertai UMNO setelah sedar parti tersebut langsung tidak menjaga kepentingan bumiputera.
Pengasas dan Pengerusi DAP Cawangan Lembah Kinrara, Haron Abdul Wahab berkata, kehadiran ahli Melayu di dalam parti tersebut hanya sekadar 'pencukup kuota' untuk mereka tunjukkan bahawa ada orang Melayu yang menyokong DAP.
"Kehadiran kami cuma sekadar melukut di tepi gantang. Meskipun kami merupakan cawangan aktif DAP yang paling ramai ahli Melayu, pimpinannya yang diketuai Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo langsung tidak menghargai pendapat dan usaha kami," katanya.
Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita pada Majlis Mesyuarat Mingguan UMNO bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, beliau mewakili 63 yang lain menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan.
Tambah Haron, lebih 100 penduduk yang menjadi ahli DAP di cawangan tersebut dijangka mengikut jejak mereka dalam masa yang terdekat ini.
Ditanya kenapa mengambil keputusan menyertai DAP sebelum ini, ujar beliau, dahulunya tuntutan untuk mempertahankan hak orang Melayu kurang menyerlah dalam dirinya akibat terlampau mempercayai manifesto pembangkang yang ternyata palsu belaka.
"Alhamdulillah, kini saya sedar bahawa DAP memang tidak elok. Setelah saya menunaikan umrah, saya menangis tidak henti dan menyesali perbuatan membelakangi perjuangan bangsa sendiri di hadapan Kaabah.
"Sejurus saya pulang ke tanah air, saya telah berazam untuk meletakkan semua jawatan dalam DAP. Hari ini, tercapailah hasrat saya," ujarnya.
Beliau turut menyeru semua orang Melayu yang menganggotai DAP supaya meninggalkan perjuangan parti tersebut dan beralih kepada UMNO bagi memastikan hak Melayu tidak tergugat.
Sementara itu, Ahmad menyifatkan kemasukan bekas ahli DAP itu ke dalam UMNO sebagai bonus yang besar dan perlu dicontohi oleh semua orang Melayu yang prihatin dengan masa depan bangsanya sendiri.
"Alhamdulillah, lebih ramai orang Melayu sedar bahawa hanya UMNO yang mampu mempertahankan hak dan nasib bangsa. Fakta ini perlu diakui oleh semua orang Melayu yang mahu melihat masa depan bangsanya terjamin," kata beliau.