Sunday, June 10, 2012

30,000 BERHIMPUN DI HIMPUNAN TAAT SETIA














JOHOR BAHARU: Kira-Kira 30,000 rakyat Johor pelbagai kaum dan agama berhimpun secara aman di pekarangan Istana Pasir Pelangi bagi menyatakan sokongan dan taat setia kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Mereka membawa pelbagai sepanduk dan mula berhimpun sejak 10 pagi tadi di Sangkar Kristal, Taman Pelangi sebelum berarak sejauh 1 kilometer ke Istana Pasir Pelangi, yang merupakan kediaman rasmi Sultan Johor pada 2 petang.

Sultan Johor turut berangkat ke Himpunan Menjunjung Kasih dan Taat Setia Duli Yang Maha Mulia Baginda Sultan Johor itu, yang dianjurkan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung).

Suasana di pekarangan istana yang penuh sesak bertukar menjadi emosional apabila baginda tiba-tiba menjadi sebak dan menitiskan air mata ketika menyampaikan ucapan ringkas kepada hadirin.

"Saya tidak akan melupakan hari yang amat bersejarah seperti hari ini," kata baginda sambil mengesatkan air mata dan laungan "Daulat Tuanku" rakyat yang menghadiri perhimpunan itu terus berkumandang.

Sultan Ibrahim yang berterima kasih kepada mereka yang menghadiri perhimpunan itu berkata adalah menjadi amanahnya sebagai Sultan Johor untuk menyayangi rakyat.

"Tidak ada rakyat, tiadalah raja. Raja dan rakyat berpisah tiada," katanya sambil mengingatkan seluruh rakyat negeri Johor, tanpa mengira kaum dan agama, supaya terus bersatu padu.

"Jika bersatu, kita akan kuat," titah baginda yang ditemani isteri, Raja Zarith Sofia dan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris serta kerabat diraja Johor lain.

Perhimpunan itu sebagai reaksi balas terhadap kenyataan bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menerusi laman Twitter mengenai bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor.

Terdahulu, baginda menerima lafaz ikrar taat setia wakil Gabung Ahmad Tarmizi Yusof serta kunjungan hormat 14 wakil NGO Johor yang menghadiri perhimpunan itu.        

Sementara itu, Bendahari Agung Gabung Zaini Atan berkata mereka amat bangga kerana perhimpunan hari ini berjaya menarik 30,000 rakyat Johor tanpa mengira bangsa dan agama, yang menganggotai pelbagai NGO.

"Kita hanya mengambil masa tujuh hari untuk menganjurkan perhimpunan ini, sebagai usaha kami untuk menunjukkan semangat taat setia dan sayang kami kepada Sultan kami. Jangan cabar Sultan kami," katanya.

Beliau berkata sejumlah 312 NGO Melayu Johor dan 62 NGO kaum Cina serta 30 NGO kaum India menyertai perhimpunan itu.

Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan, yang turut menghadiri perhimpunan itu, berkata beliau berasa amat bangga dengan sokongan rakyat pelbagai agama dan kaum di negeri ini terhadap Sultan Johor.

"Perhimpunan hari ini membuktikan bahawa rakyat negeri Johor menyokong penuh institusi kesultanan kerana ia merupakan tulang belakang kepada Perlembagaan negara," katanya. - AgendaDaily

PengundiBaharu: Daulat Tuanku! Hancur Nizar!

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...