Thursday, August 11, 2011

Persatuan Veteran Tentera Melayu serang MB Selangor


SHAH ALAM: Persatuan Veteran Tentera Melayu Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PVTM) memberi amaran keras kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar tidak bersikap ‘double standard’ berhubung tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mahu mencegah penganut Islam dari murtad.

Presiden PVTM, Mohd Ali Baharom juga mahu agar Khalid tidak mencampuri urusan Jais yang menjalankan tanggungjawab bagi melindungi kepentingan agama Islam.

Beliau berkata amaran itu turut ditujukan kepada pihak pembangkang dan sekiranya ia gagal maka mereka tidak teragak-agak untuk menggempur mana-mana pemimpin yang mengaibkan Islam.

“Menteri Besar jangan biadap dan derhaka dengan Sultan (Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah). Jangan diperkudakan oleh pihak tidak bertanggungjawab sedangkan MB berjiwa Islam. Kami kecewa dan mahu MB mohon maaf kepada umat Islam dan Sultan,” katanya.

Ujar beliau, “amaran ini juga dituju kepada pembangkang. Ini bukan arahan Umno-Barisan Nasional tapi kami suara pahlawan.


“Harap pembangkang dengar masalah dan kami tidak akan teragak-agak untuk gempur mana-mana pemimpin yang mengaib dan memecah-belahkan orang-orang Islam,” katanya yang berpiket di luar Bangunan SUK dan turut disertai kira-kira 60 anggota.

Satu memorandum turut diserahkan kepada wakil Menteri Besar, Pegawai Media Tuan Nazuri Tuan Ismail, bagi menyatakan rasa tidak puas hati terhadap Menteri Besar.

Sementara itu Pengerusi NGO Petaling Jaya Armand Azha pula menyifatkan tindakan Jais bukan untuk menolak agama lain tetapi hanya mahu memartabatkan Islam.

“MB kalau tidak faham diam. Jais hanya jalankan amanah untuk hal ehwal agama dan Sultan Selangor. Jais nak martabatkan agama Islam bukan tolak agama lain,” katanya.

1 comment:

  1. sokong veteran, kami bekas2 tentera yg lain pun tidak akan teragak2 utk bersama2 dgn anda semua demi islam...

    ReplyDelete

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...