Sunday, July 8, 2012
HUDUD: SURAT SOKONGAN ILMU DAN USTAZ FATHUL BARI KEPADA UMNO JOHOR
1. Kami menyatakan sokongan padu kepada UMNO Johor bagi melaksanakan undang-undang Islam seperti yang telah disuarakan oleh Datuk Ayub Rahmat pada mesyuarat pertama penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor ke-12 dan Sidang Dun pada Disember tahun lalu.
2. Sesungguhnya Hukum Allah Azza wa Jalla tidak pernah zalim dan menzalimi sesiapa. Malah hukum tersebut merupakan sebuah keadilan seperti mana yang diimani oleh setiap Muslim. Cuma terkadang sesuatu hukum dari Allah dilihat tidak mampu membawa wacana keadilan lantaran diungkapkan melalui kerangka politik. Justeru iLMU berharap agar UMNO tidak menciptakan versi Hudud sepertimana yang telah dilakukan oleh parti tertentu. Insyaallah UMNO akan membawakan hukum Hudud yang bersumber dari Kitab Suci Al Qur’an dan hadis yang sah; seperti mana yang telah diterapkan oleh para Salaf As Soleh.
3. Oleh yang demikian, hasrat suci ini wajib didokong oleh seluruh umat Islam tanpa ragu. Segenap lapisan masyarakat perlu diberi penjelasan tentang keagungan Hukum Allah ini. Amat wajar UMNO menubuhkan sebuah Jawatankuasa Perlaksanaan Hudud bagi merangka dan membentuk sistem ini termasuk menangani isu-isu ketidak-jelasan masyarakat terutama masyarakat bukan Islam.
4. Supaya Hukum Hudud yang diungkapkan nanti benar-benar berwajahkan keadilan Islam, wajar beberapa pihak dilibatkan dalam Jawatankuasa Perlaksanaan Hudud. Antaranya adalah para Sultan, para cendiakawan, pakar undang-undang, PDRM, badan Kehakiman dan institusi Mahkamah, Pihak Penjara dan yang paling utama adalah para ulama’ antarabangsa serta penglibatan negara-negara yang telah melaksanakan sistem ini seperti Arab Saudi. Malah iLMU sendiri menawarkan diri untuk mencurahkan kepakaran serta mengelola Jawatankuasa tersebut sekiranya diberi kepercayaan.
5. iLMU berharap agar UMNO Johor melakukan persediaan yang rapi dalam menegakkan Hudud di Johor lantaran terdapat masih banyak kekurangan dari pelbagai sudut di negara kita, sementara itu pula rakyat masih tidak mengetahui hakikat sebenar hukum Hudud ini. Sekiranya ditegakkan dalam keadaan sekarang maka kita khuatir masyarakat Islam sendiri yang akan bangkit menolak perlaksaaan hukum tersebut.
6. Hakikatnya, hasrat yang dinyatakan oleh UMNO Johor merupakan sebuah iltizam yang benar, agung serta berhak untuk dipertahankan. iLMU sentiasa berdoa agar UMNO terus menjadi pihak yang menyebarkan syiar Islam di Malaysia sepertimana yang telah dilaksanakan semenjak kemerdekaan. Segala kekurangan, kesalahan dan keterlanjuran yang mungkin pihak kami lakukan, kami mohon maaf. Kepada Allah-lah kita meminta dan kepada-Nya juga kita mengadu. Wassalam.
Yang benar,
Fathul Bari Bin Dato’ Alim Panglima Mat Jahya
Pengarah Urusan (CEO) Sekretariat Ilmuan Malaysia (iLMU)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
alhamdulillah. apa kata Nik Aziz?
ReplyDelete