Sunday, December 11, 2011

ISU NATIONAL FEEDLOT CORPORATION SELESAI!

GEMAS: Semua sembilan tuduhan berkaitan projek Pusat Fidlot Nasional (PFN) yang dilemparkan pelbagai pihak termasuk pembangkang dijawab Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, semalam.

Dalam taklimat diikuti sidang akhbar hampir dua jam di Ladang NFC di sini, Dr Mohamad Salleh, menjawab satu demi satu tuduhan itu terutama yang dibuat oleh Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Semua tuduhan termasuk mengaitkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil, dibacakan peguam NFC, Datuk Seri Dr Muhammad Shafee Abdullah dan dijawab Mohamad Salleh.

Tuduhan pertama - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa tidak bercakap benar apabila menyatakan NFC hanya memperoleh dana RM181 juta.

Mengulas perkara ini, Mohamad Salleh berkata, pengeluaran dana itu mempunyai dua tahap dan kedua-dua pemimpin itu berkata benar bahawa NFC hanya mendapat RM181 juta pada 2009.

Katanya, jumlah RM250 juta dimasukkan dalam Akaun Pinjaman Khas (SLA), tetapi proses pengeluaran baki dana memerlukan pengesahan dan perakuan daripada beberapa pihak sebelum NFC memperoleh keseluruhan pinjaman.

Tuduhan kedua – harga seekor lembu NFC RM4,481, berbanding lembu yang dijual di negara ini antara RM2,500 hingga RM2,700.

Katanya, tuduhan itu berikutan kegagalan memahami prinsip pengurusan akaun yang menggabungkan modal dan kos operasi (OPEX) dalam harga seekor lembu. Ini menyebabkan perbelanjaan perjalanan dan utiliti juga dimasukkan dalam harga ternakan.

“Berikutan pengurusan akaun, lebih banyak lembu dijual, harga semakin rendah. Ini menyebabkan pada peringkat awal harga seekor lembu NFC adalah mahal,” katanya.

Bagaimanapun, perbandingan tidak boleh dibuat dengan lembu tempatan kerana ternakan NFC adalah antara 70 hingga 100 peratus lebih berat berbanding lembu tempatan.

Tuduhan ketiga – rangkaian Restoran Meatworks menerima diskaun RM2.9 juta daripada RFC (Realfood Company Sdn Bhd) iaitu syarikat pemasaran NFC.

Katanya, diskaun tiada kaitan sepenuhnya kerana Meatworks bersama 70 pembeli lain juga menerima diskaun sama daripada RFC dan jumlah RM2.9 juta itu sebenarnya diskaun dan promosi RFC kepada semua pembeli berdaftar.

Tuduhan keempat – NFC mencatat kerugian antara RM7 juta hingga RM11 juta pada 2009 dan akan menghadapi masalah menyebabkan kerajaan melupuskan pinjaman itu.

Menjawab tuduhan itu, Mohamad Salleh berkata, pandangan itu adalah rumusan tidak matang kerana perjanjian pinjaman tidak menyatakan jadual pembayaran balik dan syarikat masih dalam tempoh yang membenarkan bayaran balik dalam tempoh tertentu menyebabkan NFC tidak melanggar perjanjian pinjaman.

“Perniagaan NFC sedang berkembang dan ini membolehkan harga seekor lembu diturunkan dan keuntungan meningkat. Dijangka syarikat akan mencatat keuntungan pada 2015 atau 2016. Oleh itu, menuduh NFC gagal adalah tidak adil pada peringkat ini,” katanya.

Tuduhan kelima – dakwaan Rafizi dana disalurkan dari NFC kepada National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) dan RFC.

Beliau berkata, NMLC diwujudkan bagi membolehkan pengimportan lembu, penyembelihan dan pemprosesan diasingkan dari fungsi pengedaran dan peruncitan yang diuruskan RFC.

“Tiada dana yang masuk dalam poket individu, terutama secara langsung dikaitkan dengan Shahrizat. Tuduhan berlaku penyelewengan dan ketirisan dana adalah fitnah kerana semua pelaburan dibuat atas nama NFC dan NMLC,” katanya.

Tuduhan keenam – pembelian dua unit kondominium One Menerung di Bangsar berharga RM13.8 juta, bagaimanapun dakwaan mengatakan RM9.8 juta diseleweng untuk tujuan itu yang tiada kena mengena dengan industri ternakan lembu.

Katanya, pembelian kondominium itu dibuat Lembaga Pengarah kerana ada dana yang tidak digunakan untuk projek pusat penyembelihan yang tertangguh disebabkan faktor bukan kesalahan NFC.

“Sebenarnya menempatkan dana itu dalam simpanan tetap adalah kurang kontroversi, tetapi tidak memberi hasil sepatutnya kepada syarikat melalui dana sebanyak itu.

“Kondominium itu diberi diskaun 20 peratus dengan jaminan sewa sebanyak RM30,000 sebulan yang dikreditkan dalam kumpulan NFC. Katakan memasukkan RM13.8 juta dalam simpanan tetap pada kadar 2.75 peratus akan memberi pulangan sebanyak RM379,500.

“Sewa pula memberi pulangan RM360,000 setahun. Oleh kerana hartanah ini dibeli 20 peratus lebih rendah berbanding nilai pasaran maka diandaikan jika hartanah ini dijual semula pada harga pasaran, maka akan ada tambahan RM2.76 juta bersama sewa setahun RM360,000,” katanya.

Ini bermakna, jumlah keuntungan adalah RM3.12 juta, iaitu lebih tinggi 22.6 peratus dalam tempoh setahun berbanding simpanan tetap pada kadar 2.75 peratus.

Selain itu, katanya hartanah itu adalah atas nama syarikat dan tidak akan memberi kelebihan atau kekayaan kepada individu persendirian.

Tuduhan ketujuh – dakwaan NFC mendapat pinjaman mudah dan tanah sedangkan ribuan penternak berpengalaman lain layak mendapat geran itu.

Mohamad Salleh berkata, sebenarnya NFC mendapat pinjaman bukan geran dengan pinjaman mesti dibayar balik seperti mana-mana pinjaman komersial lain.

Selain itu katanya, NFC mempunyai tanggungjawab sosial mewujudkan ladang kontrak untuk industri penternakan di negara ini yang tidak semestinya menguntungkan.

Tuduhan kelapan – perbelanjaan perjalanan sebanyak RM827,579 sedangkan hanya 1,618 lembu disembelih pada 2009. Oleh itu, kos perjalanan bagi setiap ekor lembu adalah RM511 atau 11 peratus daripada harga lembu sebanyak RM4,481.

Katanya, setakat ini perbelanjaan itu hanya kira-kira 0.3 peratus daripada RM250 juta, iaitu suatu jumlah kecil berbanding nilai projek.

“Pada peringkat awal NFC, pengurusan syarikat perlu pergi ke Australia untuk berjumpa perunding dan juga membeli lembu. Perbelanjaan begini memang dijangka dan dimasukkan dalam bajet,” katanya.

Tuduhan terakhir – Rafizi mendakwa bertemu pegawai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menentang projek itu seawal 2006, tetapi pegawai berkenaan tidak mampu menyuarakan pandangannya kerana keputusan dibuat pihak atasan.

Katanya, NFC tidak wujud pada 2006 dan jika tentangan itu adalah berdasarkan daya maju syarikat itu, mereka tidak sepatutnya terlalu banyak merujuk kepada personaliti, tetapi terhadap daya maju syarikat.

“Ini menunjukkan secara terang-terangan serangan terhadap menteri, malah keluarganya,” katanya.

1 comment:

  1. "Merujuk terhadap daya maju syarikat" - Apa pengalaman NFC dlm penternakan lembu dan bagaimana pula daya maju syarikat dinilai jikalau syarikat tersebut tiada pengalaman dlm ternakan lembu? Boleh tuan bagi pandangan dlm hal tersebut?

    ReplyDelete

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...