Saturday, December 3, 2011

PILIHANRAYA UMUM KE-13 BAGAIKAN ESOK...


KUALA LUMPUR, 3 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan UMNO tidak pernah mengetepikan perjuangan untuk mengangkat agenda kaum Melayu dan Bumiputera, tetapi pada masa yang sama masih memerlukan sokongan kaum lain untuk memastikan kelangsungannya sebagai sebuah parti.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan 1Malaysia, gagasan yang dipromosikannya, tidak bermakna komitmen UMNO untuk memperjuangkan agenda Melayu akan terabai, kerana gagasan itu diperkenalkan untuk memastikan sokongan semua kaum di negara ini.

“Bila turun ke bawah, ke ladang, ke estet, ke kampung baru Cina, bukan bererti bahawa saya kurang komitmen untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera.

“Saya lakukan perkara ini sebab kita mesti menentukan bahawa negara Malaysia kita ini mendapat sokongan daripada semua kumpulan etnik, kerana masa depan UMNO juga bergantung kepada sokongan daripada orang-orang lain,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucapan penggulungannya pada Perhimpunan Agung UMNO 2011, sekaligus mengakhiri perhimpunan lima hari parti itu.

Najib berkata sebagai pemimpin kerajaan, beliau perlu memikirkan hala tuju negara agar rakyat yang sentiasa menilai, baik secara senyap mahupun terbuka akan terus berasa yakin dan percaya terhadap kepimpinan sedia ada.

Untuk itu, katanya, perancangan yang cukup rapi, teliti dan kemas perlu dibuat untuk memastikan dalam masa 10 tahun lagi, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Sebab itulah saudara dan saudari sekalian, kita (kerajaan) buat macam-macam perkara untuk mencapai status negara maju seperti Pelan Transformasi Ekonomi, kita sudah tentukan apa jenis projek untuk mencapai taraf negara maju.

“Alhamdulillah dengan adanya pelancaran dan pelaksanaan sedemikian, bila ekonomi Eropah merudum, bila (ekonomi) Amerika Syarikat dalam keadaan tidak menentu, kita di Malaysia, Alhamdulillah ekonomi kita ini mampan dan stabil dan dapat menunjukkan pertumbuhan yang baik,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kejayaan itu bukan kejayaan peribadi tetapi merupakan kejayaan kepimpinan dalam negara yang seharusnya menjadi bukti kepada rakyat akan kemampuan UMNO dan BN untuk menerajui kerajaan.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...