Monday, December 12, 2011
TUN M: BN KEDUDUKAN BAIK, MENANG PILIHANRAYA.
PUTRAJAYA, ISNIN, 12 Disember, 2011: BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, Barisan Nasional (BN) berada dalam kedudukan yang baik untuk memenangi pilihan raya umum akan datang, yang mungkin diadakan awal tahun depan.
Bagaimanapun, beliau berkata persoalannya ialah sama ada BN akan memperoleh majoriti, memandangkan sebuah kerajaan yang lemah akan diserang oleh pembangkang, yang akan mewujudkan isu untuk melemahkannya.
"Saya fikir mereka kini sibuk berkempen untuk memastikan mereka boleh menang. Perhimpunan Agung UMNO agak baik, sambutannya agak bagus. Nampaknya seperti UMNO kini kembali semula menjadi popular kepada rakyat," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.
Dr Mahathir berkata, pilihan raya mungkin diadakan tahun depan, sungguh pun tempoh penggal Parlimen sekarang hanya akan berakhir pada 2013.
"Jika pilihan raya diadakan terlalu awal, negeri-negeri yang dikuasai pembangkang mungkin tidak mahu mengadakannya kerana mereka ingin mengekalkan negeri berkenaan dan cuba memenangi negeri lain pula. Mungkin itu yang akan menjadi strategi mereka.
"Bagaimanapun jika pilihan raya diadakan terlalu hampir dengan tempoh berakhirnya penggal, tiada sebarang manfaat bagi mereka. Jadi mereka terpaksa bersatu, mengharungi pilihan raya bersama-sama. Terpulanglah kepada kerajaan untuk menimbangkan perkara ini," katanya.
Ditanya samada ada kes mahkamah membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berperanan dalam pilihan raya akan datang, Dr Mahathir berkata: "Dalam apa cara sekalipun, beliau akan menjalankan peranannya."
Mengimbas semula pilihan raya umum 1999, beliau berkata ketika Anwar didapati bersalah dalam kes mahkamah ketika itu, beliau menggunakan insiden mata lebam dan BN kehilangan kira-kira 300,000 undi daripada kaum Melayu.
"Kaum Cina mengundi BN. Kaum Cina adalah penyokong BN yang sangat kuat kerana kami berjaya menangani krisis kewangan dan ramai di antara mereka yang terselamat daripada menjadi muflis. Sebab itulah kami mengekalkan majoriti dua pertiga, sungguhpun UMNO kalah bannyak kerusi," katanya.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata ramai daripada penyokong kuat Anwar dan kalangan yang menaruh kepercayaan kepadanya sudah meninggalkannya, termasuk Dr Chandra Muzaffar dan peguam Zainur Zakaria.
Mereka yang meninggalkan Anwar kini menyerang dan mengutuknya kembali.
"Pada 1999, dia sangat kuat kerana dia berada dalam penjara dan mempunyai mata yang lebam dan berkata saya melakukan konspirasi untuk menyingkirkannya.
Untuk apa saya berkonspirasi? Lagipun, saya mahu meletak jawatan," katanya. - BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.