Saturday, December 3, 2011

RAKYAT SELANGOR KECEWA! UMNO AKAN KEMBALI BERKUASA...!!!









KUALA LUMPUR 3 Dis. - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan, kajian persepsi politik yang dilakukan oleh panel pendidik bebas atas arahan Pas mendapati, 76.3 peratus kakitangan awam kecewa dengan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Menurutnya, kajian itu yang dibuat bertujuan menilai sokongan orang Melayu pada Ogos lalu juga mendapati 65.6 peratus kakitangan awam tidak suka PKR memerintah dan 60.6 peratus lagi menganggap tiada perubahan besar dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Pada masa sama jelas beliau, hasil kajian yang dilakukan panel bebas itu menunjukkan 41.3 peratus rakyat setuju pengurusan ekonomi di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada pada landasan tepat berbanding hanya 14.1 peratus tidak setuju.

Tambah Ahmad Zahid, kajian tersebut juga mendapati 54.2 peratus rakyat percaya dan yakin bahawa UMNO adalah parti yang sentiasa konsisten membela hak ketuanan Melayu dan Islam walaupun selepas bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Namun, beliau menambah, 56.1 peratus koresponden yang dikaji pula setuju bahawa DAP yang kini menjadi 'pasangan kekasih' Pas dan PKR cuba menghakis kepimpinan Melayu melalui pelbagai tindak-tanduk politik cauvinis, khususnya di negeri-negeri yang dikuasai oleh pembangkang.

"Ini bukan kajian yang dibuat oleh UMNO, tetapi dibuat atas arahan Pas pusat pada Ogos lalu. Kajian ini dengan jelas membuktikan kekecewaan rakyat kepada kegagalan pentadbiran pembangkang dan ia bukti UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang luas untuk menang selesa.

"Datuk Seri Noh Omar dan Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed ingat jangan kecewakan Presiden (Najib) kerana beliau Pengerusi Perhubungan Selangor. Rampas semula Selangor," katanya semasa menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2011 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, satu lagi kajian yang dilakukan oleh pensyarah, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula mendapati, populariti Najib pada 2011 meningkat menjadi 55 peratus dalam kalangan seluruh penduduk dan 59 peratus bagi orang Melayu, jauh meninggalkan populariti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kajian itu sekali gus menjadi bukti bahawa rakyat menerima idea Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Najib dan sebagai rekod sepanjang tahun ini sahaja, penerimaan masyarakat kepada gagasan tersebut meningkat kepada 85 peratus berbanding 75 peratus tahun lalu.

Mengenai tindakan biadab Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang menggelar Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir sebagai 'hitam metalik dan haram jadah', Ahmad Zahid memberi amaran kepada pemimpin DAP itu supaya menjaga tutur kata dan perbuatan. - Utusan Malaysia

1 comment:

  1. salam 1 malaysia.....untuk rakyat selangor yg dicintai mari ramai-ramai tinggalkan PKR..kita pilih UMNO untuk mentadbir Sgor...tinggalkan tinggalkan tinggalkan PKR parti kian runtuh..

    ReplyDelete

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...