SHAH ALAM, 2 MAC : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak laporan media bahawa pimpinan Hamas tidak menerima pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Israel boleh diiktiraf tetapi dengan syarat tertentu.
Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution berkata Pengerusi Biro Politik Hamas, Khaled Mashael sendiri menerima penjelasan itu dalam pertemuan dengan Anwar di Doha, Qatar kira-kira tiga minggu lalu.
Media arus perdana hari ini memetik TV3 sebagai melaporkan bahawa Timbalan Khaled, Mousa Abu Marzook menolak pendirian Anwar itu kerana Hamas tidak sama sekali akan mengiktiraf rejim Zionis Israel.
Mousa dilaporkan memberitahu TV3 bahawa kewujudan negara Israel mengganggu sistem pengurusan, serta menggugat kesucian Masjid Al-Aqsa. Saifuddin tidak mahu mengulas kenyataan Mousa.
Bagaimanapun beliau menegaskan Anwar mengadakan perbicangan dengan Khaled selaku pemimpin tertinggi Hamas dan membayangkan Mousa tidak hadir pada pertemuan itu.
"Pandangan yang disampaikan oleh Datuk Seri Anwar adalah berasaskan perbincangan yang dibuat oleh beliau, Yusof Al-Qaradawi, Khaled Masheal di Doha, Qatar tiga minggu lepas. Maknanya, kenyataan itu disampaikan terus oleh Khaled Masheal kepada dia (Anwar),” kata Saifuddin.
Tegas beliau, dalam pertemuan dengan Khaled, Anwar tidak pernah mengiktiraf Israel tanpa sebarang pra syarat.
Antara pra syarat itu adalah bumi Palestin harus dibebaskan daripada cengkaman rejim Zionis itu.
“Datuk Seri Anwar pun tidak mengiktiraf Israel, Hamas tak pernah iktiraf Israel. Pengiktirafan itu hanya datang bersyarat (iaitu) jika sekiranya Israel mengiktiraf Palestin, pulangkan Baitulmaqdis, kembalikan pelarian Palestin, hentikan penerokaan tanah...itu yang disebut oleh Anwar.
"Jadi bila Hamas kata dia tidak mengiktiraf Israel tidak ada bezanya dengan pendirian Datuk Seri Anwar,"tegasnya.
Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty turut mengesahkan pertemuan antara Anwar dan Khaled turut dihadiri tokoh ulama terkemuka, Profesor Dr Sheikh Yusuf Al-Qardawi.
"Kita berpegang kepada apa yang dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar selepas berjumpa dengan Khaled Masheal dihadapan Yusof Al-Qaradawi,” kata Manuty.
“Khaled Masheal menyatakan sebaik sahaja Anwar menggunakan perkataan ‘contingent’(bersyarat) dalam isu Israel-Palestin, maka mereka telah berpuas hati dan mempunyai kenyakinan kepada Anwar," katanya.
Manuty berkata wawancara Anwar dengan Wall Street Journal bulan lalu tidak menjejaskan hubungan beliau dengan Hamas.
"Saya masih yakin bahawa Anwar Ibrahim itu mempunyai hubungan intim dengan pimpinan gerakan Hamas dan gerakan Islam serta mereka saling percaya-mempercayai antara satu sama lain.
Anwar mendedahkan hasil perjumpaannya dengan Khaled selepas menjelaskan pendiriannya kepada Murshidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat minggu lalu.
Nik Aziz berkata Pas menolak pendirian Anwar itu kerana Israel adalah sebuah negara haram dan tidak boleh diiktiraf dalam apa keadaan sekali pun. - AntaraPos.
PengundiBaharu: Undi Pakatan = Undi Israel
No comments:
Post a Comment
PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.