PUTRAJAYA, 27 Mac – Kerajaan tidak bercadang untuk menaikkan harga minyak walaupun harga bahan itu di pasaran dunia semakin meningkat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.
Katanya kerajaan akan terus menanggung jumlah subsidi yang bertambah bagi memastikan beban rakyat berkurangan ekoran peningkatan harga barangan susulan kenaikan harga minyak dunia tersebut.
“Subsidi kita memang bertambah, dah jadi 93 sen setakat hari ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata pengurangan subsidi juga hanya akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain yang tiada kaitan secara langsung dengan minyak.
“Ini kerana bila kos pengangkutan meningkat akibat kenaikan minyak, maka pengguna yang akan menerima bebanan tersebut,” katanya yang ditemui selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian.
Beliau berkata setakat ini beberapa negara di rantau Asia seperti China dan Indonesia sudah menaikkan harga minyak masing-masing ekoran harga bahan api yang melambung.
Semalam dilaporkan harga minyak diniagakan di bawah paras US$125 setong berikutan kebimbangan terhadap kestabilan kewangan di zon Euro selain sesetengah negara memberhentikan pembelian dari Iran bagi mengelakkkan sekatan pihak Barat.
Pada sidang media itu Ismail Sabri turut mengumumkan program Anugerah Kedai Harga Patut kini dikenali sebagai Anugerah Kedai Pilihan Rakyat 1Malaysia yang turut disertai penambahbaikan termasuk pencalonan oleh pengguna.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu barangan pengguna, makanan, ketrampilan, gajet, informasi dan pasar raya.
“Bagi menentukan pemenang dulu kita bergantung kepada pemilihan juri, tetapi sekarang ini kita buat macam Akademik Fantasia, 50 peratus markah ditentukan oleh juri dan 50 peratus markah lagi ditentukan oleh orang ramai. Baru kedai ini benar-benar merupakan kedai pilihan orang ramai,” katanya.
Pekedai dan orang ramai boleh membuat pendaftaran dan pencalonan dalam talian mulai hari ini manakala bagi pengundian secara talian akan dibuat pada 24 April.
“Program ini baik untuk pengguna sebab melalui pertandingan ini peniaga dapat memperbaiki perkhidmatan dengan menawarkan harga yang istimewa kepada pengguna,” katanya.
PengundiBaharu: Rakyat Didahulukan.
No comments:
Post a Comment
PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.