Sunday, March 4, 2012

KRISIS KEDAH: PHAHROLRAZI DAN ISMAIL DI ARAH SERTAI SEMULA EXCO


KUALA LUMPUR, 5 MAC : Jawatakuasa Kerja Pas Pusat hari ini mengarahkan kedua-dua Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh untuk kembali menyertai Exco Kerajaan Negeri setelah mereka enggan dilantik semula kerana menentang kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Pimpinan Pas Pusat turut menetapkan bahawa Azizan akan terus menjadi Menteri Besar dan Pesuruhjaya Pas Kedah,kata Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbar sebentar tadi.

"Datuk Seri Azizan Razak akan meneruskan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar Kedah. (Juga) kedua-dua Exco, Datuk Pharolrazi dan Ismail Salleh perlu kembali semula sebagai Exco Pentadbiran negeri Kedah," kata beliau.

Mustafa berkata Phahrolrazi dan Ismail belum memberikan jawapan kepada keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat sungguhpun beliau optimis mereka akan menerimanya.

"Kita sudah memaklumkan secara lisan kepada kedua-dua Exco secara rasminya mereka dilantik semula tetapi jawapan rasmi belum lagilah," katanya.

Ditanya apakah tindakan Pas Pusat jika Phahrolrazi dan Ismail tidak mahu menerima keputusan itu, Mustafa menggesa semua pihak untuk tidak membuat andaian.

Bagaimanapun beliau membayangkan bahawa dua pemimpin berkenaan bersetuju untuk menerima keputusan Pas Pusat.

“Semuanya yang terlibat menyebut apa-apa pun (mereka) serah kepada Pas Pusat untuk diputuskan dan kita telah membuat keputusan itu," ujar beliau.

Ditanya sama ada kedudukan Azizan sebagai Pesuruhjaya Pas dipertikaian pada mesyuarat di Kediaman Menteri Besar Kedah Sabtu lalu, Mustafa berkata "saya tak tahu....kami tak tahu...tiada pula," katanya.

Sidang media hari ini diadakan 48 jam selepas mesyuarat enam jam di antara rombongan Pas Pusat, Azizan dan Phahrolrazi di Alor Setar pada Sabtu lalu bagi menyelesaikan krisis kepimpinan Kedah yang paling buruk sejak pilihan raya umum 2008.

Beberapa perkembangan yang menyusul selepas “misi damai” di Alor Setar itu menyebabkan pelbagai pihak masih mempersoalkan sama ada krisis itu selesai berikutan pengumuman Mustafa hari ini.

Phahrolrazi difahamkan berusaha menemui Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mendapatkan sokongan ekoran keengganannya untuk dilantik semula ke jawatan itu yang akan tamat tempoh pada Rabu ini.

Beliau dan Ismail diaporkan mahu seorang pemangku Menteri Besar dilantik menggantikan Azizan kerana beranggapan beberapa tindakan Azizan akan menjejaskan peluang Pakatan Rakyat mempertahankan Kedah pada PRU 13.

Mustafa berkata beliau tidak tahu mengenai hasrat Phahrolrazi bertemu dengan Nik Aziz.

"Saya tidak tahu yang Phahrolrazi hendak berjumpa Tok Guru Nik Aziz, saya, saya tidak tahu apa-apa," katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas Sallahudin Ayub yang hadir pada mesyuarat di Alor Setar itu, yakin Phahrolrazi dan Ismail akan akur dengan keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat parti.

"Kedua-dua berpihak bersetuju untuk patuh pada Pas Pusat. Saya rasa tiada masalah untuk mereka bersetuju, itu keyakinan kami, Insya-Allah," katanya. - AntaraPos

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...