Thursday, February 23, 2012

HUBUNGAN DAGANG MALAYSIA-ISRAEL: PEMIMPIN PAS AKUI ANWAR LONGGAR AKTA KASTAM!



SHAH ALAM, 23 FEB : Pas akan meminda Akta Kastam yang pernah dilonggarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membolehkan syarikat swasta di negara ini berdagang dengan syarikat di Israel, kata Naib Presidennya Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz menegaskan, pihaknya tidak bemasalah untuk menyahut cabaran Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya meminda akta itu bagi menutup terus sebarang hubungan dagang Israel-Malaysia sekiranya Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan persekutuan.

"Saya menyambut baik hasrat Khairy Jamaluddin untuk memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah bagi melihat bukan sahaja perkara yang berkaitan Akta Kastam itu malah banyak lagi akta-akta yang perlu dibuat pindaan akan dipinda,” kata beliau kepada Antarapos.com.

Khairy berkata, ketika menjadi Menteri Kewangan pada tahun 1996, Anwar bersetuju Akta Kastam itu dipinda bagi membolehkan syarikat-syarikat antarabangsa di Malaysia melengkapkan jaringan globalisasi dalam menjalankan urusniaga mereka.

Malah, tanpa menunggu pilihanraya umum sekalipun Pakatan Rakyat boleh mengarahkan kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor menarik balik lesen premis yang diberi kepada kilang dan pejabat syarikat seperti Intel, Agilent dan Motorola kerana mengimport barangan dari Israel, kata Khairy.

Beliau menegaskan isu hubungan dagang Malaysia-Israel dimainkan oleh pembangkang hanya untuk mempertahankan kenyataan pro-Israel yang dibuat oleh Anwar baru-baru ini.

Mahfuz menolak tuduhan Khairy itu dan mengulangi dakwaan bahawa kerajaan sekarang adalah pro Israel dengan mengeksport minyak sawit ke negara itu.

"Kerajaan ini adalah pro-Israel kerana tindakan mereka membenarkan kapal-kapal(Israel) berlabuh di sini untuk urusan dagangan serta penglibatan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam hal-hal yang berkaitan dengan eksport dan import negara,” kata beliau.

Dalam pada itu, Setiausaha Agong Parti Keadilan Rakyat(PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail enggan mengatakan sama ada PKR menyokong usaha Pas membatalkan pindaan Akta Kastam itu.

Saifuddin mendakwa Malaysia berdagang dengan Isreal sudah lama sebelum Anwar meluluskan Akta Kastam itu.

"Sebelum Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan lagi Malaysia sudah berdagang dengan Israel dan mempunyai hubungan perdagangan dengan Israel seawal tahun 60-an,” kata beliau.

"Waktu itu Anwar belum menjadi menteri kewangan lagi, bahkan Khairy pun belum lahir lagi. Jadi bila dia kata perdagangan Malaysia hanya bermula selepas Anwar melonggarkan Akta Kastam ini adalah kenyataan orang yang tidak faham dan tidak baca sejarah,” kata Saifuddin.

Anwar dipetik berkata oleh Wall Street Journal minggu lalu bahawa beliau mengiktiraf hak Israel melindungi diri namun ia mesti diimbangi dengan rejim Tel Aviv menghormati hak rakyat Palestin.

Pendirian itu ditolak oleh Pas yang menganggap Israel negara haram dan tidak boleh diiktiraf dalam apa keadaan sekali pun.

Parti-parti BN kemudian menuduh Anwar dan pembangkang menjadikan hubungan dagangan antara sektor swasta di Malaysia dan Israel sebagai isu untuk menutup pendirian pro-Israel Anwar.

“Kerajaan Barisan Nasional konsisten menyokong perjuangan Palestin dan langsung tidak tergamak untuk bercakap soal keselamatan Israel sepertimana Anwar kerana menyedari bukan Israel yang dizalimi tetapi rakyat Palestin,” kata Khairy.

Bagaimanapun Saifuddin mendakwa hubungan Israel-Malaysia jelas wujud dan bukan hanya terbatas kepada sektor swasta sahaja.

PengundiBaharu: Walaupun PAS mengakuinya. PAS masih mahu bersekongkol dengan Anwar...

1 comment:

  1. Kalau betul tak mahu ada perdagangan antara Malaysia dan Israel secara langsung dan tidak secara langsung, berani ke pembangkang PR jika menjadi pemerintah kelak untuk menghalau keluar syarikat-syarikat yang ada kena mengena dengan Israel. Sila lihat link ini, ada antaranya syarikat berkenaan telah bertapak lama di Malaysia ni dan membayar cukai kepada kerajaan utk diberikan faedahnya kepada rakyat:

    http://www.inminds.com/boycott-brands.html

    Jangan bila dah jadi pemerintah, keluar pula hujah-hujah mengHALALkan tindakan perdagangan yang sebelum ini dikatakan HARAM. Bukan kami tak tahu perangai pemimpin PR, hari kata lain, esok kata lain pula. FLIP FLOP punye PR....

    ReplyDelete

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...