Tuesday, May 22, 2012

SELANGOR BANGKIT: AHLI PARLIMEN PAS KOTA RAJA MENGAKU KALAH SEBELUM PRU13!


SHAH ALAM: Pakatan Rakyat khuatir akan berhadapan dengan risiko kehilangan undi orang India di kawasan parlimen Kota Raja sekiranya sentimen kaum dibangkitkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, menurut Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau diminta mengulas pengumuman Ketua Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P. Uthayakumar yang mahu bertanding di atas tiket calon bebas di parlimen itu dengan hasrat untuk memartabatkan kaum India yang didakwa tertindas.

"Kalau sentimen bangsa dan agama dimainkan, agak sukar bagi saya untuk pertahankan majoriti daripada orang India," kata beliau yang dihubungi AntaraPos.com sebentar tadi.

Siti Mariah yang kini menyandang kerusi di kawasan majoriti kaum India itu tidak menolak kemungkinan 28 peratus undi yang mewakili kaum itu akan berpecah dan akhirnya memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN).

"Saya rasa kalau dia bertanding bermakna dia akan membantu BN," tambahnya lagi.

Uthayakumar yang dipetik sebagai berkata Hindraf memilih untuk bertanding di parlimen Kota Raja dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas kerana kedua-dua kawasan tersebut adalah tumpuan masyarakat India.

Justeru katanya, Hindraf tiada pilihan tetapi terpaksa bertanding sebagai calon bebas kerana masih belum mendapat kata putus bersabit pengagihan kerusi daripada Pakatan Rakyat untuk gabungan itu selain menawarkan platform untuk peluang sama rata, naik taraf dan menghapuskan amalan rasis kerajaan dan sektor swasta.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar yang dihubungi berkata, penyertaan Uthayakumar untuk bertanding di kawasan itu amat digalakkan.


Namun katanya, mana-mana calon yang bertanding harus mengambil kira kepentingan kaum lain yang bermastautin di kawasan itu dan kemenangan bukan hanya bergantung kepada masyarakat India.

"Siapa-siapa yang mahu menjadi calon tidak boleh menang dengan sokongan orang India sahaja. Dia mesti dapat sokongan daripada ketiga-tiga kaum. Kalau ada orang datang ke kawasan Sri Andalas dan mengatakan kemenangan saya akan ditentukan oleh orang India, itu hanya satu harapan," jelas beliau.

Menurut perangkaan, pecahan mengikut kaum di DUN Sri Andalas terbahagi kepada 46 peratus Melayu, 31 peratus India dan 23 peratus Cina.

Sehubungan dengan itu Xavier memberi kepercayaan kepada rakyat di negeri Selangor khususnya untuk menilai dan memilih wakil rakyat yang boleh menyumbangkan khidmat kepada semua kaum.

AntaraPos.com difahamkan kerusi di DUN Sri Andalas akan menyaksikan pertembungan lima penjuru sekiranya kerajaan Selangor berhasrat untuk melaksanakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU ke 13 dalam masa terdekat.

Selain dua kawasan yang akan ditandinginya, Hindraf merancang untuk meletakkan calon di kerusi Parlimen Kuala Selangor dan Kelana Jaya dan kerusi DUN Ijok, Bukit Melawati dan Seri Setia. - AntaraPos

PengundiBaharu: Hancur Pakatan Selangor!

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...