Sunday, May 20, 2012

ZAMBRY JAWAB PEMIMPIN UMNO PERAK MENGAMUK DAN MASUK DAP!



Tindakan Naib Ketua Pemuda UMNO Kampar, Zamhuri Md Zin mengisytiharkan keluar parti Jumaat lalu tidak akan menjejaskan atau memberi kesan terhadap Barisan Nasional (BN) dan UMNO negeri Perak.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata keputusan Zamhuri itu juga perlu dihormati di atas prinsip demokrasi dan tindakan susulan akan diambil terhadap bekas pemimpin pergerakan Pemuda itu kelak.

“Apa yang saya kesalkan ialah beliau (Zamhuri) berbohong dengan mendakwa saya telah menghubungi dan memintanya supaya menarik semula hasrat keluar UMNO.

“Ia satu pembohongan yang biadap dan tidak bertanggungjawab kerana saya tidak pernah menghubunginya dan langsung tidak tahu menahu mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukanneka 1Malaysia anjuran Taman Fasa 2H, di Bandar Seri Manjung, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Zamhuri yang juga Ketua UMNO Cawangan Changkat Tin yang mengisytiharkan keluar UMNO dan turut menyuarakan hasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Menerusi rakaman video yang dimuatnaik dalam You Tube, Zamhuri berkata, tindakan tersebut diambil kerana parti yang telah memerintah lebih 50 tahun itu gagal menjaga orang Melayu dan tidak lagi releven.

“Saya mengisytiharkan keluar UMNO setelah lebih 27 tahun bersama parti itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, menerusi rakaman itu juga, Zamhuri dengan bongkaknya mengeluarkan kenyataan untuk menyokong DAP selain turut membawa pemimpin pembangkang iaitu, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Adun Tronoh, V Sivakumar.

“Tindakan Zamhuri ini membuka mata kita mengenai watak pemimpin pembangkang yakni Nizar dan Sivakumar yang sanggup merendahkan martabat mereka untuk mengutip orang seperti ini.

“Selama ini, orang yang sama dimaki hamun sebagai kroni UMNO dalam sidang dewan tetapi hari ini orang sama ingin dikutip oleh pembangkang untuk diangkat sebagai hero,” kata Zambry lagi.

Tindakan Nizar dan Sivakumar itu membuktikan bahawa pembangkang sanggup mengamalkan politik kotor dan tidak bermaruah semata-mata untuk menarik sokongan rakyat, tegas Zambry.

“Jika mereka (Nizar dan Sivakumar) merasakan orang ini layak menyertai DAP dan Pakatan Rakyat, dipersilakan untuk menerimanya,” katanya lagi.

Apa yang lebih membimbangkan BN dan UMNO katanya, jika ada ahli yang baik dan tiada kepentingan keluar daripada parti berkenaan.

“Saya yakin tindakan Zamhuri ini tidak akan menjejaskan UMNO dan BN dan jika watak orang seperti ini nak keluar UMNO dan masuk DAP, dipersilakan,” sindirnya. - PerakToday

PengundiBaharu: UMNO tidak memerlukan orang seperti Zamhuri Md Zin. Dipersilakan masuk DAP...

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...