Monday, May 21, 2012

TAK GEMPAR: PEMIMPIN UMNO PERAK MENGAMUK SUDAH TAUBAT...


“Saya memohon maaf kepada Menteri Besar dan semua ahli UMNO di Malaysia dan saya berasa amat kesal dengan kejadian itu”.

Demikian luahan Naib Ketua Pemuda UMNO Kampar, Zamhuri Md Zin dalam satu temubual khas bersama PerakToday.com bagi merungkai kejadian tergempar yang menyebabkan beliau sanggup mengeluarkan kenyataan keluar UMNO.

Menurut Zamhuri, ketika kejadian beliau mengalami tekanan perasaan yang sangat teruk sehingga bertindak seperti manusia yang hilang kewarasan akal.

Ketika ditanya oleh wartawan tentang apa yang sebenarnya berlaku ketika itu, lantas Zamhuri menjawab dalam keadaan tenang di mana beliau merasakan telah dipermainkan oleh pegawai dan pentadbiran di Pejabat Tanah dan Galian Kinta di Batu Gajah.

“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh ahli Umno di Malaysia kerana saya telah berjuang dengan UMNO selama 27 tahun, jadi tak mungkin dalam keadaan normal saya akan memburukkan kerajaan… sekali lagi saya ingin memohon maaf kepada parti.

“Saya ingin tegaskan bahawa dalam jiwa dan perjuangan saya dalam UMNO tidak pernah terpadam malah saya sanggup berkorban serta berjuang demi bangsa dan tanah air.

“Saya tak sanggup nak tinggalkan parti yang mempertahan bangsa dan agama saya, apa yang berlaku cuma saya merasakan saya tidak mendapat pembelaan dalam usaha mencari rezeki,” katanya.

Tambah Zamhuri lagi, ketika kejadian, beliau seolah-olah diselubungi perasaan marah yang keterlaluan dan langsung tidak menyedari setiap pertuturan yang dilakukannya.

Malah katanya, akibat marah yang keterlaluan itulah yang menyebabkan beliau sanggup mengatakan akan menyertai DAP.

“Saya begitu marah sangat ketika itu hingga sanggup mengatakan bahawa saya nak masuk DAP sebab saya marah… namun ia sebenarnya bukanlah niat saya nak menyertai DAP.

“Saya berasa kesal atas kejadian ini kerana pihak pembangkang mengambil kesempatan manakala ahli UMNO lain membuat tohmahan terhadap saya.

“Malah, ada pihak yang mengatakan bahawa saya membuat panggilan telefon dan meminta mereka (Nizar dan Sivakumar) supaya datang ….di sini saya tegaskan bahawa saya tidak sesekali memanggil mereka datang ketika itu,” katanya.

Katanya, jika dilihat melalui paparan video juga membuktikan bahawa beliau langsung tidak membuat panggilan kepada mana-mana pihak apatah lagi Nizar Jamaluddin.

Jelas Zamhuri, diakui ketika kejadian beliau ada menerima panggilan yang pertama daripada Ketua Umno Bahagian Kampar, iaitu Datuk Mohd Radzi Manan manakala selepas itu panggilan daripada pihak lain.

“Pada masa itu, Datuk Radzi Manan memang ada membuat panggilan sebanyak tiga kali dan saya juga ada menunjukkan di video itu bahawa memang beliau menelefon saya.

“Selepas itu, tidak sampai beberapa saat memang ada panggilan kedua masuk dan ia bermula dengan huruf ‘M’ dan satu perkataan lagi huruf ‘B’, ia ada jarak dan disebabkan saya dalam keadaan tidak waras dan sangat marah maka saya nampak M di hadapan dan B dihujung… saya ingatkan MB.

“Jadi, hari ini saya tegaskan ini adalah satu kesilapan diri dan saya ingin memohon maaf kepada Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir di atas kejadian ini,” katanya.

Zamhuri yang telah mula mengenal erti perjuangan bersama UMNO sejak 27 tahun lalu turut mengatakan bahawa beliau tidak mungkin akan berkelakuan sedemikian rupa ketika dalam keadaan normal dan waras.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuanggannya dalam UMNO sentiasa wujud di jiwa, malah Zamhuri juga sanggup berkorban demi sebuah parti yang membela bangsa dan tanah air.

“Saya memang tak sanggup nak tinggalkan parti apatah lagi memasuki parti DAP yang sememangnya sebuah parti yang paling teruk,” jelas beliau lagi. - PerakToday


PengundiBaharu: Terlajak perahu boleh undur yoep!

1 comment:

  1. Salam 1Malaysia,walaupun terjadi kepada diri anda,namun perjuangan anda amat dihargai semua pihak terutama UMNO dan BN Perak amnya.musuh kita sentiasa amat jelas ingin menarik perhatia kelemahan kita.Disamping itu anda hendak berjumpa rakan-rakan anda meminta nasihat untuk menenangkan fikiran kita.

    ReplyDelete

PERINGATAN: PengundiBaharu tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman Blog ini. Ia pandangan peribadi pelawat blog ini dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Blogger. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab anda sendiri.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...